Thursday, August 13, 2015

Akibat kekurangan Iron (Zat Besi)

RASA letih, tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah sering berlaku pada kebanyakan wanita mengandung hingga mereka terlepas pandang dan menganggap ia perkara normal sehingga ia tidak diberikan perhatian serius.

Mereka mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap semua itu adalah kesan akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya bagi seorang daripada tiga wanita, masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran, berkata ramai masih tidak tahu masalah kekurangan zat besi yang serius adalah merbahaya dan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi turut memberi kesan pada bayi yang dikandungnya.

Beliau berkata, wanita bukan saja perlu mengambil zat besi yang cukup semasa mengandung, tetapi ia juga penting sebelum proses mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin bertambah selepas melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan anak.

“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Oleh itu, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka.

“Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (12 hingga 15mg/dl) wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” katanya.

Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan berpunca daripada diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi mereka.

Katanya, dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi ketika hamil iaitu pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.

Antara wanita yang berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi selepas bersalin ialah:
~ Wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan besi semasa hamil
~ Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak
~ Wanita yang sudah beberapa kali melahirkan anak
~ Ibu yang menyusukan bayinya

Bagaimana hendak mengetahui jika seseorang wanita itu mengalami anemia? Antara gejala anemia yang sering dilaporkan ialah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.

Bagi menambah bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat, semasa hamil dan menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai, labu, bijan dan tauhu.

“Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. Pilih rumusan besi yang boleh diterima oleh badan kerana ia penting untuk memulihkan kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan penyerapan zat besi, membantu wanita menangani anemia semasa hamil dan juga mengurangkan kesan sampingan seperti sembelit.

“Wanita yang menghadapi risiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu disyorkan mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan untuk mengurangkan kesan rencatan.

Vitamin C tambahan disyorkan diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Kalsium tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat besi, contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada penyerapan zat besi.

Memahami anemia dan kehamilan

Wanita hamil memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi.

Golongan berisiko adalah wanita yang pernah disahkan menghidap anemia ketika kehamilan terdahulu, pernah mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak, wanita yang sudah melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang sedang menyusukan bayi.

Gejala dan kesan anemia terhadap kehamilan

Gejala anemia adalah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.
Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma serta peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.

Pengesanan

Pemeriksaan di klinik atau hospital untuk menentukan tahap hemoglobin dalam badan melalui ujian darah.

Sebelum merancang untuk mengandung, wanita digalakkan bertemu doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam badan mereka.

Pencegahan dan rawatan Meningkatkan pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur daun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang, tembikai dan labu, bijan dan tauhu.

Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia

No comments:

Post a Comment